Langkau ke kandungan utama

Novel Noah Vanessa #Jilid 2 ~Penulis AisyahRos~

Tajuk: 
Noah Vanessa (Jilid 2)

Penulis: 
Aisyahros

Harga: 
RM28

Sinopsis: 
Kini, separuh hati Vanessa telah menerima kewujudan Tuhan yang Maha Esa. Harapan disandarkan kepada Tuhan. Tali Allah yang ingin dipegangnya dipimpin bersama Noah. Dia akui, dia dapat merasakan kemanisan dalam mengenali Allah Yang Maha Esa dan agama Islam. Namun, tragedi yang berlaku akibat ‘sumpahan’ dalam hidupnya itu telah meranapkan harapannya yang disandarkan kepada Tuhan.

“Saya percaya Tuhan awak ataupun tidak, ia tetap tak akan ubah sumpahan yang ada dalam hidup saya.” – Vanessa Willians

“Vanessa, ianya bukan salah awak. Tolonglah, Vanessa. Stop blaming yourself on something you don’t even do.” – Noah Q’Darrien Lee

Ujian hidup Vanessa kali ini bukanlah boleh dihadapinya seperti sebelum ini. Ujiannya kali ini sangat berat! Ujian yang perlu dia hadap atas nama dua kebenaran.

“Pak cik lakukan ini untuk kamu, Vanessa. Tolong jangan benci pak cik.” – Tuan Daniel Black

Di mana silapnya? Bukankah harapan kepada Tuhan itu memang seharusnya setinggi langit?

“Ujian ini terlampau berat untuk aku. Kenapa bagi pada aku?” – Vanessa Willians

Teaser:

#1
"Awak anggap diri awak bawa malang, sebab awak percaya akannya, Vanessa," Noah kembali berbicara. Vanessa sudah mengerutkan dahinya hairan.

  "Maksud awak?"

  "Ditambah pula dengan semua kejadian itu, membuatkan awak semakin dan terus percaya yang awak memang sebenarnya bawa malang. Fikiran awak diracuni dengan tanggapan awak sendiri dan tangkis pendapat lain yang sebaliknya, sebab awak dah betul-betul percaya akannya. Senang cerita, awak dah tutup fikiran awak daripada dengar dan terima pendapat lain disebabkan awak dah percaya sepenuhnya yang awak memang bawa malang pada semua orang dalam hidup awak."

  Noah menyambung. "Inilah dia batu terbesar yang menghalang awak, Vanessa. Batu yang menghalang perjalanan hidup awak yang membuatkan awak terlalu kerap menoleh ke belakang sebab awak dah tak nampak apa-apa di hadapan kecuali batu yang besar."

  Riak wajah Vanessa serta-merta berubah. Bicara Noah kali ini terlampau dalam maksudnya, juga teramat dalam kesannya.

  "Saya pernah beritahu awak waktu kita di sungai itu, kan? Saya akan bantu awak alihkan batu tersebut supaya awak boleh terokai keindahan lain dalam kehidupan awak. Mungkin susah untuk kita alihkannya. Mungkin akan penat, jatuh terduduk, tersepit tangan atau mungkin juga tertindih kaki, tapi kita tetap akan usaha buang batu itu ke tepi," ujar Noah dan dia bertindak mengambil batu kecil di bawah pondok kayu itu. Sebiji batu diberikan pada Vanessa dan satu lagi digenggamnya sendiri.

  "Jika perlu, kita akan jadikannya kecil sebegini," ujar Noah dan menunjukkan batu itu kepada Vanessa.

  "Supaya lebih mudah dan ringan untuk kita buang dia daripada hidup awak." Kemudian, Noah bangkit daripada duduknya dan mencampakkan batu itu sehingga jatuh ke dalam tasik. Vanessa hanya memerhatikan saja tingkah laku Noah itu.

  "Awak dah sedia untuk buang batu itu, Vanessa?" soal Noah kepada Vanessa yang masih duduk di pondok itu. Wajah Vanessa dipandang sebelum dia mengangkat keningnya.

  Saat itu, Vanessa memandang ke arah batu di dalam genggaman tangannya.

  "Let me help you to save you."

  "Jangan lepaskan dia, dan yakinlah bahawa dia boleh bantu akak cari jawapan untuk kesemua persoalan akak, asalkan akak tak putus asa dengan apa yang terjadi."

  "Dia akan bawa kamu ke dunia yang penuh dengan kebenaran yang sebenar, dan kamu juga akan dibongkarkan dengan satu per satu perkara yang kamu tak pernah tahu. Kamu akan selamatkan ibu, Vans. Tolong selamatkan ibu."

  Perlahan-lahan, dia menggenggam batu itu. Suatu semangat yang tidak pernah dia rasai selama 28 tahun dia hidup ketika ini bertandang dalam jiwanya. Suatu semangat yang mendorongnya untuk mengetahui segala-galanya yang dia tidak dan belum tahu. Suatu semangat yang membawanya untuk terus cekal bagi mengubah takdir hidupnya yang malang.

  Akhirnya, Vanessa bangkit daripada duduknya dan mendekati Noah. Langkah kakinya berhenti di sebelah Noah dan matanya masih memandang ke arah batu itu.

  "Saya dah tak ada sesiapa lagi," ujar Vanessa sebelum bisu buat seketika. Tiada sesiapa yang boleh membantunya lagi. Sama ada Tuan Daniel, Haydar dan Leah, mahupun sesiapa pun, dia tidak tahu siapa lagi yang sudi membantu dia selain daripada Noah.

  "Jadi, janji dengan saya." Kemudian, Vanessa memandang ke arah Noah.

  "Awak akan sentiasa ada dengan saya, bantu saya, dan tak akan tinggalkan saya walau apa-apa pun yang terjadi," sambung Vanessa sambil menatap tepat ke mata Noah.

  Kerisauan dalam hatinya ketika itu masih wujud. Risau jika keputusannya ini ialah keputusan paling bodoh yang dia ambil. Risau jika keputusannya ini akan mendorong dia ke arah yang lebih teruk. Namun, kerisauan itu bagaikan kalah dengan semangat yang ada dalam jiwanya.

  Mungkin juga Tuhan yang Maha Berkuasa telah meminjamkan secebis kekuatan-Nya kepada Vanessa untuk menangkis segala bicara buruk dalam hati dan fikirannya.

  Senyuman nipis di bibir Noah terukir. "Saya janji, dengan izin Allah."

#2
Senyuman sinis wanita itu membunuh seluruh jiwanya.

  Nampaknya, keputusan 16 tahun lepas yang dia ambil dahulu sudah memakan diri sendiri.

  "Maaf... maafkan pakcik. Pakcik lakukan ini sebab kamu, Vanessa. Pakcik tak mahu kamu tahu tentang ini sebab pakcik takut kamu akan benci pada pakcik, kamu akan jauhi pakcik. Cukuplah ibu kamu saja pergi tinggalkan pakcik, pakcik tak mahu kamu pula yang pergi. Pakcik takut." Tuan Daniel kembali menggelarkan dirinya sebagai 'Pakcik'. 

  Terluka?

  Sudah tentu, tapi seperti yang dia katakan tadi, apa pilihan yang dia ada?

  "Tolong jangan benci pakcik, Vans." Tuan Daniel merayu kepada Vanessa masih sedang memandangnya dengan senyuman sinis itu. Senyuman sinis di wajah jelita Vanessa ketika itu seolah-olah menikam jiwa Tuan Daniel bertubi-tubi.

  "You know what? Dengan cara ini sebenarnya akan buat saya lebih benci pada pakcik. You keep hiding the truth from me. The truth that I should, I must, and I need to know! Just tell me the truth earlier, that is easy! Kalau pakcik beritahu selepas ibu meninggal, saya tak akan pergi ke mana-mana sebab saya tak ada tempat lain untuk dituju. Budak 12 tahun, ke mana yang boleh dia pergi?" Vanessa melepaskan amarahnya yang membelenggu hatinya ketika itu.

  "16 tahun pakcik rahsiakan tentang ini daripada saya. Pakcik buat saya fikir yang hidup saya ini tak ada tujuan lain selain daripada bertahan untuk terus disakiti, rupa-rupanya saya ada Tuhan untuk saya sembah sepanjang hidup saya. Sepatutnya saya ada harapan, tapi pakcik tutup harapan tersebut dengan mendung yang pakcik sendiri letak dalam hidup saya." Vanessa berkata dengan nada suara yang ditahan geram dan amarah.

  Tuan Daniel membisu kembali. Tidak mampu untuk dia menangkis bicara wanita itu, kerana kesemua itu sememangnya benar. Perlahan-lahan, lelaki itu menunduk dan melepaskan nafas berat, seberat bebanannya ketika itu.

  "Saya kecewa dengan pakcik." Kemudian, kedengaran bunyi pintu dibuka sebelum ditutup kasar, menandakan bahawa Vanessa sudah beredar dari situ.

#3
"Awak nak kata ianya kebetulan ke, Noah?" Vanessa meminta lagi sambil mengangkat keningnya.

  "Kalau betul ini hanya kebetulan, apa maksud semua perkara yang dah berlaku sebelum ini? Ibu saya, ayah angkat saya, makcik saya, pakcik saya, Haydar, dan semuanya! Termasuk kawan yang saya baru jumpa dan bermain untuk beberapa minit, dia juga terlibat sama. Dia mati kena langgar depan mata saya, betul-betul lepas kami habis bermain. Itu semuanya kebetulan ke, Noah?" Vanessa semakin hanyut dalam lautan emosinya. Tanpa wanita itu sedar, ada setitis air mata jatuh ke wajah Vanessa.

  "Ianya takdir, Vanessa." Noah membalas dan Vanessa terkelu lidahnya saat itu.

  "Takdir yang dah ditentukan. Takdir yang Allah sudah tetapkan dan penuh pengajaran serta hikmah di sebaliknya. Kita sebagai manusia tak akan mampu tahu apakah hikmah di sebaliknya, melainkan kita bersabar dan tunggu jawapan daripada-Nya," tambah Noah lagi sebelum mereka berdua menyepi buat seketika. Tatapan tajam Vanessa dibalas dengan tatapan penuh harapan Noah. Seketika kemudian, Noah kembali memecahkan kesepian di antara mereka.

  "Allah Maha Bijaksana, Vanessa. Awak kena percaya itu." Bicara Noah itu dibalas dengan ketawa kecil Vanessa.

  Ianya kedenaran sinis dan sarkastik.

  "Itu fahaman awak, bukan saya." Respon Vanessa itu menyentakkan jiwa dan raga Noah.

  "Dalam hidup saya dah tak ada perkataan 'takdir', yang ada hanyalah 'sumpah' dan 'celaka'. Hanya itu saja yang tinggal, Noah. Celaka itu dah merebak ke Ji Hoon sehingga dia meninggal dunia, dan mungkin selepas ini ialah giliran awak!" 

  "Vanessa!" Nada suara Noah naik beberapa oktaf membuatkan Vanessa terkedu. Langsung Vanessa tidak menyangka bahawa Noah akan menaikkan suara padanya.

  "Awak boleh dengar suara saya?" soal Noah dengan nada suara yang bergetar. Ketika itu, Vanessa hanya membisu.

  "Boleh tak awak dengar suara saya lebih daripada awak dengar tanggapan yang cuba tenggelamkan kewarasan diri awak sekarang?" soal Noah lagi.

  Vanessa masih kekal membisu. Namun dalam diam, Vanessa menggenggam tangannya yang menggigil.

  "Vanessa, ianya bukan salah awak. Perkara yang berlaku pada Ji Hoon ialah suatu takdir yang Allah dah tentukan, dan bukannya berlaku disebabkan oleh awak. Tolonglah Vanessa, stop blaming yourself on something you don't even do." Noah berkata lagi dan Vanessa menggigit bibirnya bagi menahan sebak yang memukul dadanya ketika itu.

"Vanessa, awak kuat. Awak mampu ubah segala-galanya, kalau awak ubah fikiran awak. Awak lebih kuat daripada yang awak sangkakan, sebab itulah awak diuji sebegini. Ujian yang berat hanya untuk orang yang hebat, and you're the one of them." Satu per satu semangat diberikan kepada Vanessa.

  Noah tak mahu Vanessa kembali ke asal. Dia tak mahu wanita itu menutup jiwanya yang hampir terbuka untuk menerima agama kebenaran. Sungguh, dia tak mahu.

  Saat itu juga, Haydar tiba di situ dan riak wajah Vanessa dibaca dari situ. Saat itu, lelaki itu yakin bahawasanya sesuatu yang besar telah terjadi di antara mereka berdua. Kedua-dua manusia itu berdiri secara berhadapan, tiada suara mahupun kata namun pandangan mata masing-masing sudah dapat dibaca dengan jelas oleh Haydar.

  Kemudian, anak mata Vanessa jatuh ke arah figura Haydar yang tidak jauh di belakang Noah.

  "Saya kena pergi," ujar Vanessa dan menamatkan telingkah lidah di antara mereka berdua.

  "Tak kira apa-apa pun yang awak katakan, hati saya dah tekad. Saya nak hentikan semua perjalanan ini."

  Hati Noah retak seribu. Dunianya bagaikan kelam tanpa cahaya.

  "Saya tak nak, Vans." Noah berkata sambil menggeleng perlahan. Hatinya terasa bagai dirobek lukanya yang lama. Betapa dia kecewa melihat ibunya dikafankan di depan mata setelah lama tidak berjumpa, begitulah juga sakitnya hati Noah ketika ini apabila mendengar bicara wanita itu.

  "Terima kasih, dan saya minta maaf, Noah Lee. Saya harap, awak lupakan semuanya. Kita hentikannya di sini."

#4
"Vans." Namanya diseru oleh Noah dan secara refleks, Vanessa mengangkat keningnya.

  "Ya, Noah."

  "Terima kasih." Bicara Noah itu membuatkan Vanessa tersenyum nipis.

  "Sama-sama."

  "Terima kasih sebab ada dengan saya."

  "Sama-sama, Noah."

  "Selama ini, saya hadapinya seorang diri. Apabila kesemua itu datang dalam fikiran saya, tak ada apa-apa yang saya boleh lakukan selain... tahan seorang diri, berdoa, dan beri semangat pada diri saya sendiri. Ada orang yang temankan waktu susah lebih mudah sebenarnya," tambah Noah lagi dan nada suaranya saat itu sudah mulai tenang.

  "Macam yang awak sendiri cakap, dalam hidup ini kita sentiasa perlukan bantuan orang lain untuk dapatkan hidup yang lebih baik," balas Vanessa selepas itu.

  "Exactly yes." Respon Noah itu membuatkan Vanessa tersenyum lagi.

  "Terima kasih." Ucapan terima kasih daripada Noah lagi itu membuatkan Vanessa ketawa kecil.

  "Berapa banyak kali awak nak cakap terima kasih?" 

  "Sampai ke Syurga." Bicara Noah itu langsung membuatkan Vanessa terdiam.

  "Sampai ke Syurga, saya nak berterima kasih pada awak. Awak izinkan?" Soalan Noah itu membuatkan lidah Vanessa kelu tanpa sebab. Entah kenapa, soalan Noah itu membawa Vanessa kepada maksud yang tersirat di sebaliknya.

  "Diam tanda setuju." Noah menambah dan dapat Vanessa dengar akan tawa halus di hujung bicara Noah.

  "Kenapa saya rasa macam awak ada maksud lain, ya?" soal Vanessa dengan jujur dan telinga Vanessa dapat menangkap lagi tawa halus di hujung talian.

  "Tidurlah, Vanessa. Esok awak kerja. Esok saya tak kerja, jadi saya boleh tidur lambat," ujar Noah dan Vanessa tersenyum dengan bicaranya.

#5
"Jadilah seperti langit, yang hanya membiarkan awan indah sahaja yang menemani dia. Awan itu mengindahkan lagi dirinya, menarik perhatian orang untuk kekal memandang ke arahnya," ujar Ji Hoon dan menurunkan ekor matanya daripada terus memandang langit.

  Riak wajah Ji Hoon jelas membawa seribu satu kedukaan dalam kancah jiwanya.

  Sama seperti Vanessa.

  "Tapi, ianya terlampau susah. Nak tinggalkan, nak lepaskan, ianya terlalu susah. Nak tak nak, saya kena bertahan, bertahan dan bertahan sampai tiba masanya. Walaupun berjuta kali saya jatuh terduduk, saya tak boleh tinggalkannya. Walaupun berjuta kali saya berniat nak tinggalkannya, saya tetap tak boleh," ujar Ji Hoon dan riak wajahnya semakin dijerut mendung.

  Kemudian, Ji Hoon memandang tangannya sendiri.

  "Saya dah mulakan. Saya sendiri yang memulakannya, jadi saya kena tanggung akibatnya. Saya tak boleh lari," kata Ji Hoon sebelum menggenggam tangannya pula. Bibir bawahnya diketap, bagaikan sedang menahan tangis.

  "Walaupun hakikat sebenarnya, saya terlampau ingin melarikan diri," ujar Ji Hoon dan membawa tangannya ke wajah sendiri. Tak lama kemudian, Ji Hoon menunduk. Fahamlah Vanessa bahawa emosi lelaki itu sedang dihujani mendung.

  "Betul cakap Noah." Bicara Vanessa menarik perhatian Ji Hoon. Matanya yang merah itu memandang ke arah Vanessa.

  "Kita berdua ada banyak persamaan," ujar Vanessa sebelum tersenyum.

  "Abang Noah pun cakap benda yang sama pada saya," balas Ji Hoon. Mereka berdua tersenyum sesama sendiri.

  "Saya percaya dalam hidup ini, kita sentiasa ada peluang dan pilihan. Kedua-duanya juga ada kebaikan dan keburukan yang nak tak nak kita kena hadap juga walau sejauh mana pun kita cuba untuk melarikan diri. Ada sesetengah perkara kita tak boleh persoalkan, dan ada juga yang tak boleh untuk kita elak." Vanessa mula mengeluarkan bicaranya.

  "Sebuah kehidupan tanpa ujian, ianya tak layak mendapat kebahagiaan," tambah Vanessa dan mata Ji Hoon dipandang. Masih terbias duka di balik alis mata lelaki itu. Kemudian, Ji Hoon menarik pandangan matanya dan jatuh ke bawah. 

  "Jadi, sampai bila kita kena berjuang?" Ji Hoon menyoal dan mengangkat wajahnya.

  "Berperang tanpa henti, siapa yang mampu?" soal Ji Hoon lagi dan Vanessa diam. Sesungguhnya, Vanessa tiada jawapan untuk itu, sebab dia sendiri sedang berjuang.

Dia tiada pengalaman.

Review: 
Sambungan jilid 1, semasa dalam pengantungan kerja, dia sibuk mendalami ilmu agama di library rumahnya. Semua bekalan buku di bekalkan oleh Noah. Disebabkan ada campurtangan menteri,  dia dipanggil kerja semula atas sebab tertentu. 

Di sini, Ryan cuba meluah perasan tapi ditolak mentah² oleh Vanessa. Manakala Noah pula, mereka terus berkawan seiringn dengan masalah berlaku dan dalam mencari kebenaran islam. Dengan kematian adik angkat mereka, membuatkan mereka sekali lagi diuji membuatkan mereka berpisah sementara disebabkan Vanessa takut sumpahan berulang lagi. 

Dalam pada itu, Vannesa yakin dalam agama islam tapi akhir kebenaran terungkap membuatkan dia lari dari takdir itu. Takdir memang tak boleh lari kan... Vanessa cuba berlajar sambil menyakini Islam yang di anuti. 

Manakala, Noah pula adalah lelaki yang agak misteri itu rupanya Putera kerajaan. Tapi disebakan tekanan, dia melarikan diri. Noah dan Vanessa, sama² mangsa terluka disebabkan orang sekeliling, cuba bangun dan bangkit dengn cara mereka sendiri setelah mereka 100% berserah dengan takdir mereka pada Allah. Banyak kata² motivasi dalam ni. 

Noah melamar Vanessa tapi mula² Vanessa tolak. Datang Haydar, akhirnya hubungan mereka direstui oleh kedua² pihak. Tapi ending cerita macam ada sambung... Yup Novel Haydar Rose Jilid 1.

Akhirnya habis juga membacanya. Berakhir dengan happy ending. Dalam ni haydar banyak muncul dari jilid 1. Dan dia ibarat pari² dengan mulut yg OMG! agak kepoh pada Vanessa dan Noah hahaha. Di sini menceritakan lebih dalam keluarga Noah dan Vanessa. Dah kali ni pesakit terakhir adalah doktor sendiri. Suka tengok perjalanan Vanessa dalam menerima islam disebakan Vanessa tidak beragama. Apa² pun seronok membaca novel ni sampai tak sedar kul 1 pagi!!! Esok qada tido balik zira oiiii 🥱

Rating: ⭐⭐⭐⭐/5

Ulasan