Stesen Hikayat

 

Tajuk: Stesen Hikayat

Penulis: Osman Deen

Belakang Buku:

"Kalau dapat buku ayah saya pun, dia tetap takkan kembali!"


"Tetapi Mawar perlu pulang untuk mereka yang masih tinggal."


Mawar sedang mencari sebuah buku.

Itu permintaan terakhir Akhdar, ayah Mawar yang baru meninggal dunia. Tanpa tahu tajuk dan siapa penulisnya, hanya isi cerita itu yang menjadi kompas; kisah seorang penglipur lara yang menjual cerita untuk cinta.

Sinaran Hikayat, sebuah kereta api yang merentas ruang dan masa dinaiki Mawar untuk mengejar Awang Bati, penjaga kereta api itu.

Awang Batil punya buku yang dicari Mawar. 

Tetapi buku itu ada harganya.


Ulasan: Lama juga saya ambil masa untuk habiskan buku ni. Bukan sebab jalan ceritanya tak best tapi saya mahu memahami dan mendalami ayat2 dalam ni. Mula-mula saya tengok muka depan buat saya fikir macam cerita Harry Potter, akan tetapi sebenarnya kisah di sebalik kisah sebenarnya.

Awang Batil, ialah penglipur lara yang membawa cerita untuk bercerita pada orang ketika itu. Jadi penulis menceritakan  Awang Batil tapi dari sudut morden, iaitu dengan keretapi. 

Kisah ni bermula dari Mawar, anak yang kehilangan bapa. Bapa Mawar ada tinggalkan pesan untuk Mawar cari buku, Jadi bermula la episode Mawar mencari buku sehingga dia bertemu seorang orang tua lalu memberi tiket kereta api. Mawar pun nak keretapi Sinaran Hikayat walaupun masa tu dia ragu-ragu. Rupanya Mawar naik kereta api hikmat, yang membawa dia kepada pencarian. Disitu, Mawar bertemu dengan Awang, penjaga kereta api Sinaran Hikayat, Kundang, penulis novel, dan Puteh, mencari seseorang. Mereka sama-sama bersahabat dengan baik sehingga terlerai cerita masing-masing yang membawa penamat kisah mereka. 

Saya tak dapat nak hilang perasan sedih tak kala mereka berpisah dan terkejut bila mereka sebenarnya mempunyai kaitan sesama sendiri. Tapi, saya ada musykil la, kenapa Awang jadi penjaga disitu?? Kenapa tak noktah kan cerita Awang juga? Bagaimana Awang boleh jadi penjaga di situ? Penulis letak tanda tanya yang buat saya rasa adakah penulis mahu sambung siri kisah keretapi ni?

Petikan muka surat:

1. Amanat

"Mawar..." Akhdar memanggilnya perlahan, membuatkan topeng pernafasan berkabur.

Tetapi daripada kabus itu pun, Mawar dapat melihat ayahnya tersenyum nipis. Mawar merapatkan diri dan mencapai tangan ayahnya, memegang erat.

"Mawar... ingat tak, dulu ayah selalu bacakan cerita dekat kamu?" soal Akhdar tiba-tiba, menarik Mawar keluar daripada hibanya.

Mawar mengangguk laju dengan mata berkaca. " Ingat ayah tapi banyak sangat cerita yang ayah bacakan," jawab Mawar mengundang tawa lesu ayah.

" Ada satu... yang kerap ayah bacakan... boleh kamu tolong cari bukunya?" pinta Akhbar, nafasnya ditarik agak kasar. " Muka depannya... yang biru gelap tu."

Mawar berfikir sejenak. Dia memegang tangan ayah dengan lebih erat. " Yang fasal... penglipur lara tu ke? Nanti Mawar cuba carikan." - m/s 19 - 20

2. Jumpa Puteh

Secara tidak sengaja, mata Mawar bertembung dengan seorang gadis dengan sanggul rendah memakai baju kurung kedah. Gadis itu yang sedang membaca buku tersenyum kepada Mawar sebelum memandang ke kiri dan kanan.

Setelah pandanganya tidak berjumpa dengan orang yang dicari, dia mengisyaratkan dengan tangan untuk Mawar mendekat.

"Sinilah, Cik ini baru naik kereta api, bukan?"

katanya, dikuatkan sedikir suara supaya Mawar mendengar.

"Tak perlu berdiri di situ. Sini, duduk bersama saya." - m/s 71

3. Jumpa Awang dan Kundang

"Encik Awang! Ini ada penumpang yang encik tidak sambut lagi." panggil Puteh

Apabila Mawar melarikan pandangan dari kuanter ke arah yang dituju Puteh, seperti ada satu ikatan yang terlerai dalam jiwa Mawar. 

Awang Batil yang gigih dikejarnya seharian ada di hadapan mata. Ketika itu, Awang sedang berbicara dengan seorang lelaki bersongkok dan berbaju Melayu petak-petak ungu.

" Oh! Ada penumpang yang hamba terlepas lagi?" soal Awang lalu ketawa dan menampar dahi topengnya. "Hamba sudah berkarat gamaknya!"

Dia bangun dari duduknya dan menundukkan kepala sedikit apabila Puteh dan Mawar sampai ke mejanya. Mata Awang yang hanya kelihatan dari lubang kecil topeng merahnya bercahaya apabila melihat Mawar.

"Ah, tuan hamba ini yang hamba pinjamkan buku tempoh hari. Bagaimana, bagus bukunya?" soal Awang dengan senyum luas.

"Mawar terpempan dan kelu lidah. Saat ini telah dicari dan dikejarnya beberapa hari tetapi otaknya seperti tidak berfungsi sekarang. Lalu dia membuka beg sandang dan menghulur novel Manikam Kalbu itu kembali.

"Ba... bagus. Terima kasih sebab pinjamkan buku ni," jawab Mawar, melihat Awang menyelak buku itu dan mengangguk-angguk berpuas hati.

"Minda Mawar masih belum puas menghadam apa yang berlaku. Awang Batil dihadapanya diperhatikan tanpa berkelip mata."Oh! Lembayung... orang tua yang beri tiket saya ni kirim salam dekat awak."

Awang berfikir sejenak lalu memandang lelaki yang bersongkok itu yang mengangkat bahu. Dia memetik jari apabila sudah ingat.

"Ah! Lembayung! Hamba ingat, hamba ingat. Masih hidup lagi ya, orang tua itu," ujar Awang sambil ketawa.

Puteh memaut lengan Mawar dan menariknya untuk lebih dekat sebelum berbicara.

"Saya sudah menerangkan apa yang patut tentang kereta api ini tetapi ada aiknya Encik Awang suluhkan lagi lebih jelas," Kata Puteh memeluk buku yang dipegangnya.

Ketika itu, lelaki bersongkok yang sedang duduk pun bersuara." Bukankah aku pinjamkan buku itu kepada engkau sudah lama? Masih belum habis bacanya lagi?"

Untuk kali pertama, Mawar melihat Puteh yang hanya tersenyum, mencebik dan mendengus jengkel.

"Encik Kundang, tidak mengapalah! Sudah lama berada di sini, saya masih hendak membiasakan diri. Mual perut saya membaca lama-lama atas gerabak bergoyang, tahu?"

Kundang ketawa berkekek-kekek. "Kalau sudah habis baca, bagitahu, Banyak lagi buku menarik aku boleh beri."

"Tuan hamba berdua ini tahu bergaduh sahaja, cubalah sekali sekala tidak bercakar seperti kucing." bidas Awang meletakkan novel Manikam Kalbu ke atas meja. - m/s 82 - 84

Status: THB / Syor

Ulasan