Telapak Iblis
TAJUK: Telapak Iblis
PENULIS: Izzatin Yasin
MUKA SURAT: 478 Helai
KULIT BELAKANG: Dewi Kasturi, seorang gadis jelita yang dicemburui oleh kebanyakan penduduk Kampung Tualang Beringin. Fitnah sering dilemparkan sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan syirik untuk membunuh ibu dan ayahnya. Sejak itu, Dewi menjadi murung.
Rasa cintanya kepada Khaliq, si pemuda kaya turut dipertikaikan oleh Taris. Kebahagiaannya diragut pergi. Imannya bergoncang dan hampir runtuh. Akhirnya, perjanjian dimeterai. Iblis ingin mengheretnya ke neraka!
"Aku akan bunuh kau! Kau akan terseksa!" - Dewi Kasturi
Suatu peristiwa tragis yang berlaku meletakkan Dewi Kasturi dalam bahaya. Dia harus meninggalkan cinta hati dan kampung halamannya. Pertemuan tanpa sengaja dengan Che Mustika memberi sinar dalam hidupnya.
Separuh abad berlalu, Encik Zain sekeluarga berpindah ke sebuah vila mewah yang terletak di kawasan lereng bukit. Kehadiran potret misteri menjadi tanda tanya. Bunyi gemerencing gelang kaki dan irama bonang menghantui mereka.
"Kenapa ukiran telapak kaki ni macam tertanam?" - Tiara
Sejak itu, kisah silam Dewi Kasturi yang tersembunyi di sebalik kemewahan Vila Cinta Mentari terus terbongkar satu per satu. Penemuan kubur lama di belakang vila juga mengejutkan mereka. Adakah ukiran telapak kaki itu terkait sama dengan Dewi Kasturi?
ULASAN: Kisah dendam sang anak terhadap orang kampung yang menyakiti kedua ibubapa dia sampai meninggal. Diketengahkan kisah syirik untuk panduan agar jauhi perbuatan syirik walaupun banyak mana pun masalah.
Dewi, seorang anak yang membesar dengan kasih sayang oleh ibubapanya. Walaupun kehidupan mereka miskin dan daif tapi mereka bersyukur dengan semuanya sehingga orang kampung iri hati dengan keluarga mereka. Dewi digambarkan seorang gadis yang jelita yang menjadi igauan para lelaki dan irihati pada wanita. Disebabkan kecantikan gadis tu, mereka sekeluar difitnah sehingga ada yang mahu membunuh mereka sekeluarga. Kadang-kadang tak faham sifat manusia yang dengki melampaui batas kemanusian. Malah mengajak sekampung pula tu, kesian kehidupan dewi sekeluarga.
Dengan kematian tragis ibubapa dia, dewi mula menuntut ilmu hitam. Dia membunuh orang yang membuat ibubapa dia mati terseksa, dan akhirnya dia terpaksa keluar dari kampung tersebut selepas keadaan tidak lagi memihak pada dia lagi. Kira seluruh kampung mahu dia keluar la.
Dewi berkelana sampai la dia dijumpai sakit oleh Che Mustika, dan Dewi menjadi anak angkat kepada Che Mustika itu. Tapi Dewi yang sudah membuat perjanjian dengan makhluk tu, terus dewi buat ukiran telapak tu dirumah tersebut. Disebabkan makhluk tu tak mendengar kata dan akhirnya menjadi kisah tragis, akhirnya makhluk tu terkurung dirumah tersebut oleh Dewi yang meninggal dunia.
Berbalik pada zaman sekarang, rumah tu dibeli oleh Encik Zain. Encik Zain membawa sekeluarga tinggal di rumah itu. Permulaan ke rumah tu memang misteri sehingga la mereka mendiami rumah tersebut. Tiara, anak mereka mula membongkarkan bilik yang tersimpan makhluk tersebut. Akhirnya mereka sekeluarga mula diganggu oleh makhluk tersebut.
Cerita agak bosan dengan gaya bahasa yang meleret. Mungkin tak ada 'kick' yang membuatkan saya mahu terus membaca. Malahan, setiap watak yang dibangunan macam kerja sambil lewa, macam tak ada nyawa. Hanya seram semata-mata. Tapi yang tersirat dari kisah ni ialah semua ujian dan masalah adalah takdir semata-mata. Fitnah tu lebih tajam dari membunuh sebenarnya yang membuatkan sebuah keluarga harmoni bertukar tragis. Seperti kisah misteri yang lain, semuanya berakhir dengan habiskan makhluk tu walaupun in real life, benda tu tak sebenuh disangkakan. Sebab tu JAUHI PERBUATAN SYIRIK, kerana tu adalah DOSA YANG SANGAT BESAR, walaupun dendam sekalipun akhirnya memakan tuannya seperti kisah hidup pengakhiran Dewi.
oh dalam ni tak ada watak hero, hero semua lemah!
Skor: 2⭐/5⭐
Status: THB / Syor
Ulasan