Langkau ke kandungan utama

Novel Cik Buah Hati Encik Sendu ~Penulis Airisz~


Belakang Buku~
Nama aku Fauziah Hanim. Panggil Jee saja. Aku anak sulung. Bawah aku ada enam lagi adik.

Selepas tiga hari emak melahirkan Ammar Hakim, ayah meninggal dunia dengan tiba-tiba saja. Petang tu ayah rebah di ruang tamu. Tanpa pesan, tanpa kata-kata, ayah pergi begitu saja meninggalkan kami buat selamanya.

Emak tak mampu terima kenyataan yang ayah sudah tiada. Dua hari mak kemurungan dan selepas itu mak terus hilang daya ingatan. Orang kampung sebut mak gila meroyan. Sejenis penyakit yang dialami ketika ibu-ibu dalam pantang. Namun bagi aku, emak gagal mengawal rasa sedihnya dan pasti saja mak terlalu memikirkan tentang anak-anaknya selepas ini.

Tapi tak mengapa, mak. Aku ada. Aku akan ambil alih tugas ayah selepas ini. Aku janji akan jaga mak dan adik-adik. Aku akan pegang amanah arwah ayah sebaik mungkin. Kita akan sama-sama teruskan kehidupan walau tanpa ayah di sisi. Aku ingin terus hidup!

Lebih menyedihkan, keadaan hidup kami yang susah langsung tak dipeduli oleh adik-beradik belah ayah. Tapi bila sebut soal harta peninggalan arwah ayah, laju saja nak uruskan. Dapat tahu semua harta atas nama aku, mereka buat rancangan sendiri nak kahwinkan aku dengan entah siapa. Habis, adik-adik aku siapa nak jaga?

Bila tahu Ngah Zamri nak kahwinkan aku, tergesa-gesa Hajah Sanisah datang nak pastikan. Lega dia bila aku tak ingin pun kahwin.

"Tak payahlah nak kahwin dulu. Kalau betul kamu nak kahwin, Zahar ada Uzair pun ada. Ambil ajelah yang mana satu kamu suka, Jee."

Siap dia buat tawaran lagi dua anak teruna dia. Tak cukup Hajah Sanisah, salah seorang anaknya sibuk betul bertanya.

"Aku dengar mak saudara kau nak kahwinkan kau dengan pilihan mereka. Betul ke?"

"Haah."

"Kau setuju?"

"Kau tengok muka aku memang gatal nak kahwin ke?"

"Ada juga sikit-sikit."

"Sengal!"

Tapi aku tak perlu ambil kesah sebab apa yang penting sekarang aku harus kerja keras membanting tulang demi pastikan adik-adik cukup makan dan pakai. Akulah harapan mereka semua.

Dalam mengharungi susah dan senang, ada si dia yang sentiasa ada untuk aku. Dia pasti ada. Tanpa pernah aku minta, dia tetap peruntukkan masa buat aku.

"Jee..."

"Ya."

"Kalau kau nak kahwin sangat, kahwinlah dengan aku."

"Nantilah, kalau dah tak ada siapa-siapa nak aku, aku cari kau. Tapi tunggu Ammar keluar universiti dulu."

"Baik, aku tunggu."

Inilah potret kehidupanku yang sederhana bersama keluarga dan orang tersayang. Sarat cerita duka dan ria namun kami tetap bahagia dengan cara kami sendiri.

Ulasan~
Jee, gadis remaja umur 18 tahun dan anak sulung yang memikul tanggungjawab keluarga selepas kematian ayahnya. Ibunya hilang ingatan, orang kampung cakap gila meroyan sebab baru lepas lahirkan anak dan kematian suaminya. Jee buat keputusan menyara keluarganya dengan usahanya sendiri. 

Banyak cabaran keluarga Jee antaranya keluarga sebelah ayah yang suka mengata dan memaksa dan nenek yang tak menyukai mereka adik beradik. Sedih tetapi itu realiti dan masih ada pada zaman ini. 

Suasana kampung memang best dengan orang kampung yang ambil berat dan orang kampung membawang lagi. 

Suka dengan Uzair yang berusaha untuk memajukan diri walaupun dulu sebagai kutu kampung. Suka sangat² dengan Uzair, mula-mula selalu cari pasal dengan Jee. Jee memang mulut tak ada insuran selalu berlawan kata dengan Uzair. Rupanya Uzair dalam diam simpan perasan dengan Jee sebab itu bila mak dia kata "tak payahlah nak kahwin dulu. Kalau betul  kamu nak kahwin, Zahar ada Uzair pun ada. Ambil ajelah yang mana satu kamu suka, Jee", Uzair cepat-cepat berubah jadi seorang yang berusaha cari duit untuk pinang buah hati. Siapa kata kerja kampung tak ada masa depan? Bila baca novel ni rasa nak duk kampung kerja kampung dari duk kerja di bandar hahaha. Kerja tak ada punch card dan rezeki ada bila berusaha. Suka sangat watak Jee, gadis berusaha untuk memajukan keluarga dan kakak yang bertanggungjawab. Mungkin ada sedikit kekasaran tapi sebagai anak sulung memang sikap kepimpinan dan ketua tu ada la. 

Uzair cemburu dengan abangnya Zahar. Dia tahu Zahar menyimpan perasan daripada Jee macam dia. Tapi Uzair tak putus asa selagi Jee tak nyatakan pilihannya. Selepas kejadian kehilangan mak Jee, mereka berdua kawan rapat. Uzair selalu ada bila Jee perlukan bantuan. 

Suka sangat dengan keluarga Jee sebab mereka saling bantu membantu. Hubungan adik beradik erat walaupun datang la pakcik makcik yang mulut jahat. Kesian pada nenek Jee pengakhirnya dapat balasan yang setimpal tapi sedih juga la sebab di akhir hayatnya baru dia tahu mana permata dan mana kaca. Mak Jee pula akhirnya sembuh. Jee dan Uzair akhirnya berkahwin selepas bertahun-tahun bercinta dan saling bantu membantu.

Jee sebagai Cik Buah Hati Uzair dan Uzair sebagai Encik Sendu bagi Jee hahaha. Novel sempoi dan ringan baca.

Disyorkan~ 5/5

Ulasan